Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Enam belas tahun telah berlalu sejak Amerika Syarikat (AS) melancarkan kempen ketenteraan di Afghanistan untuk menggulingkan rejim Taliban dan menghapuskan rangkaian kumpulan militan al-Qaeda serta sekutunya.
Tetapi, Washington masih gagal dalam peperangan terpanjang di negara tersebut susulan pemberontakan berterusan dan keganasan yang semakin meningkat di Kabul.
Peperangan di Afghanistan itu meragut hampir 2,400 tentera AS manakala kira-kira 20,000 lagi mengalami kecederaan.
Kempen ketenteraan itu dilancarkan susulan tragedi 11 September 2001 yang mendakwa militan dikaitkan dengan al-Qaeda melancarkan siri serangan maut di AS yang digambarkan sebagai tidak pernah berlaku dalam sejarah negara tersebut.
Serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York yang menyebabkan kematian dan kemusnahan besar itu telah mencetuskan usaha AS untuk mempercepatkan kempen menentang keganasan.
Ketika itu, bekas Presiden George W Bush turut meminta Taliban menyerahkan pemimpin al-Qaeda, Osama Laden kepada AS yang didakwa sebagai dalang utama serangan 9/11.
Bagaimanapun, Taliban gagal memenuhi tuntutan tersebut hingga mencetuskan kemarahan kerajaan AS, sekali gus membuka jalan kepada campur tangan ketenteraan bagi memerangi militan.
Pada 7 Oktober 2001, Bush menerusi ucapan disiarkan stesen TV mengumumkan bermulanya operasi ketenteraan ke atas Taliban dan al-Qaeda di Afghanistan sebagai sebahagian daripada kempen beliau untuk memerangi keganasan.
"Di bawah arahan saya, tentera AS telah memulakan serangan ke atas kem latihan al-Qaeda dan markas rejim Taliban di Kabul," katanya ketika itu.
Operasi secara berhati-hati itu diatur untuk menjejaskan operasi yang menjadikan Afghanistan sebagai pangkalan militan dan menyasarkan keupayaan rejim Taliban. Namun, segalanya rancangan peperangan ke atas Taliban tidak mengikut jangkaan pentadbiran Bush.
Ribuan orang awam dan tentera terkorban atau cedera akibat pemberontakan berterusan pada era pasca Taliban di Kabul.
Menjelang 2009, lebih seribu tentera AS terbunuh akibat peperangan dan keganasan di negara itu.
Pada masa itu, presiden kulit hitam pertama, Barack Obama yang mengambil alih jawatan di Rumah Putih turut 'mewarisi' keganasan di Kabul di mana Taliban sebagai kelompok militan yang kuat sedang berusaha menguasai semula seluruh negara.
Keganasan berterusan memaksa pentadbiran Obama membawa beberapa perubahan dalam strategi peperangan AS di Afghanistan.
Pada 30 November 2009, presiden terbabit mengarahkan penempatan kira-kira 30,000 anggota tambahan di negara bergolak itu.
"Tiada ancaman ke atas kerajaan digulingkan, namun Taliban telah mendapat momentum. Al-Qaeda belum muncul semula di Afghanistan dalam bilangan sama seperti sebelum tragedi 9/11. Ini kerana mereka mengekalkan tempat selamat kumpulan itu di sepanjang sempadan," ujar Obama dalam satu kenyataan pada Disember 2009.
Pada 2014, Obama yang pada asalnya berjanji untuk mengurangkan jumlah tentera AS di Afghanistan akhirnya mengumumkan untuk menamatkan operasi tempur itu pada akhir 2016.
Kini, presiden Donald Trump yang pada mulanya menganggap kempen ketenteraan itu sebagai bencana dan satu pembaziran membuat kenyataan u-turn atau berdolak dalik tentang operasi tersebut beberapa bulan selepas memegang jawatan tertinggi di Rumah Putih.
Selama beberapa tahun jutawan hartanah terbabit berulang kali mempersoalkan tujuan penglibatan AS secara berterusan di Afghanistan menerusi Twitter, namun beliau yang sememangnya dikenali sebagai pemimpin tidak berpendirian tetap turut memberi kenyataan bertentangan tentang operasi itu.
Trump bagaimanapun menyifatkan keputusan memanggil pulang tentera AS dari Iraq adalah satu kesilapan dan ia tidak sepatutnya berulang di Afghanistan.
"Tindakan tersebut telah meninggalkan kekosongan kuasa yang memberikan tempat selamat kepada Daesh untuk berkembang, merekrut anggota baharu dan melancarkan serangan. Kita tidak boleh membiarkan kesilapan ini berulang di Kabul," kata Trump.
Jumlah sebenar tentera AS di Kabul juga tidak dapat dipastikan, dianggarkan terdapat antara 8,500 dan 12,000 anggota Operasi Khas bersama unit lain di negara tersebut.
Selain itu, terdapat juga kira-kira 5,000 anggota dari Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan negara pakatan lain.
Strategi baharu pentadbiran Trump bagaimanapun tidak menyatakan jumlah tentera tambahan yang akan dihantar ke Afghanistan.
Pentagon menganggarkan penempatan anggota baharu itu mungkin hampir 4,000, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan adalah kira-kira 16,000 orang.
Strategi baharu AS, banyak pihak skeptikal
Banyak pihak di Afghanistan ragu-ragu dengan dasar baharu AS yang kononnya untuk menamatkan peperangan.
Sebahagian besar mereka mendakwa strategi itu tidak mempunyai sebarang mekanisme untuk rundingan damai dengan militan atau rancangan meningkatkan pembangunan, pembinaan semula dan faktor lain untuk membawa kestabilan di negara tersebut.
Penganalisis politik, Hekmatullah Shahbaz berkata, kehadiran tentera AS cenderung untuk memanjangkan peperangan dan Rusia pasti menentang langkah itu.
Dalam satu kenyataan lain, Prof Ahmad Zia Rafat di Universiti Kabul pula berpendapat komen Trump terhadap Pakistan adalah tidak jelas dan cadangan beliau untuk India memainkan peranan lebih besar di Afghanistan boleh menjadi tidak produktif.
"Trump tidak menjelaskan apa yang akan dilakukan oleh Washington jika Pakistan gagal untuk memerangi Taliban. Kerajaan India mungkin tidak berminat dengan usaha perdamaian di Kabul kerana ia juga mahu mengelakkan sebarang pertempuran dengan Islamabad di sepanjang sempadan. New Delhi bukan negara neutral dalam situasi ini," jelasnya.
Selain itu, Taliban turut memberi amaran dan berikrar untuk terus menentang tentera AS sehingga ke titisan darah terakhir.
Di Pakistan, Mejar Jeneral Asif Ghafoor menerusi kenyataan balas terhadap Trump yang mendakwa negara itu menyokong keganasan menegaskan tentera kerajaan telah menyumbang kepada keselamatan serantau di luar kemampuan dan keupayaan mereka.
"Tiada infrastruktur terancang dari mana-mana organisasi pengganas wujud di Pakistan. Kerajaan telah menangani semua pengganas termasuk rangkaian Haqqani dan kami telah mengemukakan bukti kepada delegasi peringkat tertinggi tentera AS pada minggu lalu," ujarnya.
Menteri Luar Pakistan, Khawaja Asif turut menolak kritikan AS terhadap usaha keras mereka dalam memerangi keganasan selain menegaskan Islamabad tidak sewajarnya dijadikan kambing hitam atas kegagalan kempen ketenteraan tersebut.
Beliau juga mengulangi penafian Pakistan sebagai markas militan.
Sementara itu, penganalisis politik Amerika, Dennis Etler berpendapat campur tangan AS di Afghanistan mungkin ada kaitan dengan cubaan untuk merampas kawalan strategi geopolitik negara yang kaya dengan sumber mineral belum diterokai.
"Pertimbangan baharu itu adalah tentang kedudukan penting Afghanistan sebagai rangkaian perdagangan dalam Inisiatif Satu Jalur dan Satu Laluan (OBOR) di bawah rancangan Laluan Sutera Moden kerajaan China.
"Ia adalah kempen awal AS dalam mengisytiharkan peperangan ke atas keganasan. Tetapi, apa yang hasil strategi ini? Keganasan telah merebak ke seluruh dunia dan Washington menjadikannya sebagai alasan untuk campur tangan dalam sesebuah negara sewenang-wenangnya," katanya.
4 perkara perlu diketahui tentang Perang AS di Afghanistan
1. Tentera masih dikerah ke Kabul
Kira-kira 8,500 tentera AS kekal berada di negara itu sejak Obama tamatkan misi tempur itu secara rasmi pada 2014. Terdapat juga tentera Nato bekerjasama dengan AS melatih dan memberi nasihat serta bantuan kepada pasukan keselamatan Afghanistan. Selain itu, pasukan Operasi Khas di bawah misi antikeganasan berasingan menyasarkan al-Qaeda dan Daesh.
2. AS tanggung kos berbilion dolar
Lebih AS$700 bilion (RM2.9 trilion) telah dibelanjakan untuk membiayai pembinaan semula dan usaha perang di Afghanistan. Penghantaran anggota tambahan mungkin akan menambah lagi kos tersebut. Strategi ketenteraan meramalkan perbelanjaan AS termasuk kos rawatan perubatan dan kecacatan veteran boleh mencecah sehingga AS$840 bilion (RM3.5 trilion).
3. Rasuah di Afghanistan jadi halangan utama
Isu rasuah menjadi masalah meluas dalam kerajaan dan pasukan tentera negara itu. Pada Mac lalu, lebih 1,000 anggota tentera dipecat atas tuduhan rasuah. Seorang jeneral di wilayah Helmand yang menyaksikan beberapa pertempuran berdarah turut dibicarakan atas tuduhan menggelapkan wang dan rasuah. Presiden Ashraf Ghani telah melancarkan kempen menyasarkan pegawai kanan dalam usaha untuk meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan.
4. Daesh dan Taliban terus lancar serangan utama
Taliban baru-baru ini bertanggungjawab terhadap beberapa serangan berdarah di negara itu. April lalu, lebih 140 askar Afghanistan terbunuh atau cedera selepas sekumpulan lelaki berpakaian seragam menyerang pangkalan tentera dengan meletupkan ves dipasang bahan letupan dan melemparkan bom tangan.
Oleh: Marlissa Kamal